Kenyataan Media IRAMA di atas Kelulusan Kabinet bagi Penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia




Konsortium IRAMA mengucapkan syukur alhamdulillah dan tahniah serta syabas kepada YB Dato' Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pengerusi Finas, Pegawai Khas Menteri Menteri (Muzik) dan lain2 pegawai KKMM atas tertubuhmya Perbadanan Muzik Malaysia atau PIMM setelah diluluskan oleh Kabinet pada Isnin lepas bertarikh 19 Julai 2021.

Setelah hampir 40 tahun dinantikan oleh pelaku, penggiat dan pelabur industri muzik Malaysia, akhirnya dalam suasana industri yang semakin suram ini ditambah dengan masalah covid dan pandemik beterusan, setelah ramai penggiat industri terutama yang bermartabat lagenda dalam arena muzik Malaysia mengangkat "bendera putih", mungkin inilah hikmah dari Allah SWT, dibekalkan kepada kami seorang menteri yang beriltizam tinggi dan dibantu oleh pegawai yang berkaliber, maka tertubuh jualah PIMM.

Justeru itu, IRAMA sebagai salah satu 'stakeholder' dalam industri muzik, yang secara rasmi atau tidak rasmi yang telah sama-sama memberikan input dalam penubuhan ini sejak tahun 2018, yang mana salah satu agenda penubuhan IRAMA adalah mengusaha dan menggesa agar diwujudkan sebuah Perbadanan yang skopnya hampir sama dengan FINAS, turut tumpang gembira dengan keputusan kabinet Malaysia dan berharap fokus selepas ini akan berjalan seperti apa yang dirancang.

IRAMA tidak begitu mengambil perduli siapa yang akan dilantik sebagai Pengerusi atau Pengurus PIMM. Yang lebih penting adalah dasar-dasarnya yang sehingga kini masih belum dimaterikan atau dimaklumkan secara rasmi kepada kami, malah kepada semua pelaku, penggiat dan pelabur industri.

Sehingga kini juga KKMM belum memaklumkan siapa-siapa yang terlibat dalam membantu KKMM dalam menyiapkan dan menggubal rang undang-undang akta atau garis panduan serta kertaskerja penubuhan PIMM ini secara rasmi. Apa yang ada adalah perbualan-perbualan baik secara pertemuan fizikal ataupun secara online terutamanya dalam WhatsApp group. 

Keraguan IRAMA lebih kepada asas 'input' yang dirasakan lebih penting dari siapa yang akan menerajuinya, kerana asas dasar-dasar inilah bakal jadi panduan kepada siapa yang dilantik menjadi peneraju PIMM.

Secara asasnya KKMM sudah pun maklum segala permasalahan yang berlaku dalam industri muzik, yang kerajaan telah 'terlepas pandang' membiarkan industri muzik ini berlangsung seperti pergerakan 'seladang liar', ini petikan dari ucapan allahyarham TS Samad Idris yang menjadi pengerusi FINAS ketika itu sewaktu memanggil penggiat muzik sekitar tahun 1990 atau 1991 dulu. Ada yang telah meninggal dunia dan ada juga ramai yang masih hidup, mungkin masih ingat pertemuan ini yang berlangsung di bilik mesyuarat FINAS. Jadi diharap PIMM akan menjadi pemacu industri atau 'acceleration body' dan bukan sebagai pesaing kepada industri.

IRAMA amat berharap agar barisan pengurusan PIMM nanti benar-benar menggauli semua sektor dalam industri muzik seperti yang diwar-warkan dan pentingnya aspek nasionalisma, kesaksamaan dan ketelusan akan sentiasa menjadi tunggak perkhidmatan.

Wakil dari Sabah dan Sarawak harus ada dalam barisan jemaah jawatankuasa PIMM bagi merakyatkan muzik untuk Malaysia. PIMM juga harus lebih 'bermesra' dan memperkuatkan Persatuan/kelab/komuniti yang aktif yang mewakili muzik baik yang dipandang sebagai Persatuan Professional, Korporat dan syarikat gergasi bagi menyamatarakan kalangan Persatuan miskin dan marhaen. Juga sebagai memasyurkan Islam sebagai agama rasmi negara, selayaknya pembangunan muzik Islam juga diperkasakan dan diperhebatkan, bukan hanya memfokuskan kepada kalangan kluster popular dan bernaung di bawah label besar atau genre nasyid saja, malah menyeluruh kepada akar-umbi dan pembangunan industri muzik Islam itu sendiri.

Akhirkata, yang mahir, pandai dan bijak tak bermakna boleh menguasai dan menindas serta memonopoli, yang besar dan kuat tak seharusnya membuli yang naif dan lemah; dan yang popular tak semestinya perlu disanjung hingga meminggirkan pemikiran rasional dan ehsan.

IRAMA sedar, mengharap pada kesempurnaan idealisma memanglah amat mustahil, namun mencegah PIMM menjadi sarang 'kartel' dalam bentuk digitalisasi moden yang legit adalah cabaran yang lebih besar bagi pelaku, penggiat dan pelabur industri masakini dan akan datang. Semoga muzik terus menjadi komoditi luhur dan murni bagi membentuk acuan budaya dan tamadun yang Malaysia cemerlang.

- Ayob Abd Majid
Presiden, Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA)






Comments